Syarikat produksi wajib lantik penyelia keselamatan

0
146

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA -Syarikat produksi yang bakal memulakan operasi bermula 10 Jun ini diminta melantik seorang penyelia keselamatan khusus, untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) krew dan pelakon.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyelia keselamatan diperlukan untuk membantu semua aktiviti produksi penggambaran filem, iklan, serta drama.

Bagaimanapun katanya, pelakon dan krew syarikat berkenaan tidak perlu menjalani ujian swab.

“Ujian swab hanya perlu apabila timbul isu positif Covid-19 di kawasan terlibat. Jadi kalau tidak ada kluster dalam penggambaran filem, tidak perlu buat ujian swab secara wajib,” katanya dalam sidang akhbar harian selepas mesyuarat khas menteri-menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Namun Ismail Sabri menambah, pihaknya mengalu-alukan jika ujian swab secara sukarela untuk krew dan pelakon, demi keselamatan.

Berkaitan pendandan rambut pula, Ismail Sabri memberitahu kerajaan telah menetapkan SOP khusus dengan mewajibkan mereka memakai pelindung muka dan sarung tangan.

“Peralatan (dandanan) yang digunakan juga mesti khusus untuk setiap individu dan tidak boleh dikongsi,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pengurusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dilarang mengutip sebarang bayaran daripada ibu bapa dan murid selagi ia tidak dibenarkan beroperasi.

Beliau menegaskan, MRSM hanya dibenarkan mengutip semua bayaran termasuk caruman bulanan selepas mula beroperasi semula nanti.

“Tidak perlu (bayar caruman bulanan) MRSM, tidak boleh mengutip sebarang bayaran termasuk caruman dan sebagainya kerana masih belum dibenarkan beroperasi.

“Apabila dibuka (nanti), apa sahaja bayaran serta caruman yang dikutip sebelum ini, boleh mula dibayar,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here