Tengku Muhammad Taufik, Wan Zulkiflee terajui Petronas, MAB

0
573
TENGKU MUHAMMAD TAUFIK TENGKU AZIZ

CYBERJAYA – Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu syarikat Petroliaum Nasional Berhad (Petronas) bermula 1 Julai in.

Tengku Muhammad Taufik menggantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang dilantik sebagai Pengerusi baharu Syarikat Malaysia Airlines Bhd. (MAB).

Tengku Muhammad Taufik adalah Ketua Pegawai Kewangan PETRONAS yang dilantik sejak 2018.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan menerusi hantaran akaun Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, terdapat beberapa syarikat kerajaan perlu diperkukuhkan lagi untuk menghadapi norma dunia yang baharu.

Tambah beliau, kerajaan meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan syarikat-syarikat milik kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kepemimpinan dan sumbangan Wan Zulkiflee selama 37 tahun perkhidmatan beliau bersama Petronas.

“Beliau telah berjaya mengekalkan Petronas sebagai salah sebuah syarikat kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan ditadbir dengan cemerlang,” katanya.

Beliau menambah, Petronas juga adalah satu-satunya syarikat kerajaan yang mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500.

“Saya percaya di bawah kepemimpinan beliau, syarikat MAB akan dapat distruktur semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional yang berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus yang baik,” katanya.

Muhyiddin berkata, Tengku Muhammad Taufik berjaya mengekalkan Petronas sebagai syarikat kerajaan mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan ditadbir dengan cemerlang.

Muhyiddin berkata, industri minyak dan gas kini melalui cabaran hebat dengan ketidaktentuan harga minyak dan ekonomi global yang merundum.

“Saya percaya dengan kemahiran dan pengalaman dimiliki Tengku Muhammad Taufik, beliau bersama Pengerusi sedia ada, Datuk Ahmad Nizam Salleh, akan dapat memimpin Petronas ke mercu kecemerlangan,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here