Terima kasih Abah Muhyiddin kerana mengingatkan kami pada abah di kampung

0
239
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin

HARI ini genap 100 hari pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pada awalnya, tiada siapa yang menjangkakan sosok tubuh ini bakal menjawat jawatan nombor satu negara tatkala seluruh mata sedang asyik memerhatikan perebutan jawatan antara Perdana Menteri ketujuh dan bakal perdana menteri yang dicanang-canang di seluruh negara bakal mengambil tampuk kuasa selepas dua tahun daripada tarikh PRU-14.

Tapi benarlah ‘rezeki’ itu antara rahsia Allah, tidak semena-mena ketika berlaku krisis politik ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan, muncul Muhyiddin untuk menamatkan kemelut yang seperti tiada kesudahan itu.

Meskipun pemilihan beliau sebagai Perdana Menteri mendapat kecaman dan cemuhan daripada musuh politiknya, beliau tetap kekal tenang menghadapi setiap dugaan yang datang.

Selain krisis politik yang seperti tidak berkesudahan yang terpaksa ditanggung oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini, Ahli Parlimen Pagoh ini juga terpaksa berhadapan dengan krisis kesihatan apabila gelombang kedua Covid-19 memuncak ketika di bawah pentadbirannya.

Seperti lagak seorang jeneral perang, Muhyiddin tidak menunggu lama untuk mengatur gerak dan strategi bagi melawan musuh yang tidak kelihatan ini. Dengan kepakaran strategi yang diatur oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan petugas barisan hadapan lain, segala yang direncana bagi mengekang penularan Covid-19 mula menampakkan hasil.

Biarpun pada awalnya keputusan untuk melaksanakan ‘lockdown’ atau dalam istilah perundangan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat tidak popular dan mendapat kecaman ramai, akhirnya keputusan yang diambil tiga bulan lalu inilah yang membezakan bilangan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia dan negara lain terutamanya negara jiran kita.

Pendekatan beliau yang santai dan tenang ketika muncul di kaca televisyen bagi menyampaikan amanat penting membuatkan rakyat hilang resah dan ketakutan.

Penerimaan rakyat terhadap beliau juga berubah berbanding ketika awal-awal beliau menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri sehingga beliau diberi gelaran ‘Abah’ oleh warga maya.

Seperti ‘abah-abah’ lain yang tak boleh melihat anaknya susah, pelbagai inisiatif dan insentif diumumkan bagi memulihkan ekonomi negara. Malah tiada kedengaran daripada mulut Abah bahawa kerajaan tiada duit atau menasihatkan rakyat untuk mengikat perut.

Sikapnya betul-betul seperti bapa kita dikampung yang sanggup bersusah payah, kelaparan dan berkorban apa sahaja demi anak tercinta. Walaupun dia sendiri tiada duit, tapi tetap berusaha untuk memberi wang saku kepada anak-anaknya.

Berbalik kepada Perdana Menteri, mesej dalam pakej rangsangan ekonomi beliau sangat jelas, sektor ekonomi perlu dipulihkan dan rakyat yang terkesan akibat wabak ini tidak kira sama ada Makcik Kiah yang tinggal di kampung atau Datuk Lee yang mempunyai perniagaan besar mesti dibantu.

Di atas faktor itu, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dengan pantas diumumkan dalam tempoh 10 hari selepas PKP dilaksanakan.

Dan sehari sebelum beliau mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan digantikan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), satu lagi pakej rangsangan ekonomi yang dikenali sebagai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) diumumkan.

Pelan bernilai RM35 bilion dengan 40 inisiatif ini bukan sahaja komprehensif malah mampu membantu menjana semula ekonomi negara yang terbantut selama tiga bulan ekoran penularan wabak Covid-19. Hampir semua sektor ekonomi bakal dibuka semula esok sebaik PKPP dilaksanakan, keadaan ini sudah pasti dapat merancakkan semula ekonomi negara yang malap sejak tiga bulan lalu.

Namum begitu, cabaran yang bakal dihadapi Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) belum berakhir, bulan hadapan sekali lagi kerajaan pimpinan beliau akan diuji di Dewan Rakyat.

Sudah pasti barisan pembangkang yang diketuai bekas Perdana Menteri tidak akan melihat sahaja sokongan terus diberikan kepada Muhyiddin. Pelbagai siri serangan sudah pasti akan dilancarkan. Dengan majoriti tipis yang ada dipihak kerajaan sekarang, pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuklah PRU-15 dalam masa terdekat ini.

Jika beliau dan kerajaan pimpinannya berjaya melepasi halangan dalam sidang Dewan Rakyat bulan hadapan, tugas lebih mencabar pasukannya ialah untuk segera mewujudkan peluang pekerjaan selepas ramai yang kehilangan kerja akibat wabak ini.

Kalau berjaya, sudah pasti ia akan memberi nilai tambah pada diri beliau dan PN secara keseluruhan.

Justeru, dengan segala tindakan segera yang diambil ini, mungkin sokongan dingin rakyat yang pada mulanya menolak kerajaan ini yang kononnya merampas mandat rakyat akan bertukar sebaliknya. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah kekal fokus dan teruskan membantu rakyat yang dalam kesusahan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here