Terima kasih petugas barisan hadapan -Perdana Menteri

0
258
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang pantas membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan warga asing di depoh tahanan imigresen, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, ini kerana sejak kebelakangan ini kebanyakan kes baharu jangkitan penyakit itu melibatkan warga asing.

“Kebanyakan kes yang dicatatkan sejak kebelakangan ini adalah kes import dan kes-kes yang melibatkan pendatang asing tanpa izin di depot-depot tahanan imigresen.

“Kita bersyukur kerana tindakan pantas para petugas barisan hadapan telah berjaya membendung penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Perdana Menteri berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kadar jangkitan Covid-19 dalam negara menunjukkan trend yang semakin menurun.

Beliau berkata, statistik Kementerian Kesihatan memperlihatkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan semakin rendah dan terkawal.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan memutuskan untuk menamatkan PKPB dan melaksanakan PKPP bermula Rabu ini.

“Apa yang penting ialah kita semua mestilah bersedia untuk membudayakan kebiasaan baharu dalam kehidupan kita. Ya adakalanya kita merasakan sedikit sukar untuk mengamalkannya tetapi percayalah setiap kesukaran itu akan disusuli dengan kesenangan.

“Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Syarhu ayat 4 dan 5:Yang bermaksud: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sekali lagi ditegaskan, bahawa sesungguhnya tiaptiap kesukaran disertai kemudahan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here