Tiada keperluan rekod suhu badan

0
560

CYBERJAYA- Tiada keperluan untuk suhu badan direkodkan dalam senarai butiran yang perlu diberikan oleh orang ramai sebelum memasuki mana-mana premis.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Mohd. Fardhi Ahmad berkata, apa yang diperlukan hanya nama, nombor telefon serta tarikh dan masa.

Beliau berkata, suhu badan hanya perlu diambil oleh penjaga premis dan tindakan segera boleh diambil sekiranya ada individu yang melepasi had dibenarkan.

“Sekarang macam-macam standard cara data peribadi diambil sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat terhadap maklumat diambil.

“Kita juga ada menerima laporan bahawa data peribadi ini didedahkan kepada pihak lain untuk tujuan lain, ini jelas menjadi satu kesalahan,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune.

Menurut Mohd. Fardhi, pihaknya telah membentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai garis panduan pemberian data peribadi.

Katanya, MKN telah meluluskan cadangan Jabatan Perlindungan Data Peribadi agar maklumat yang perlu sahaja boleh diberikan kepada premis.

“Semua bersetuju agar data minimum sahaja dibenarkan iaitu nama, nombor telefon serta tarikh dan masa. Suhu badan pula bukan satu keperluan.

“Garis panduan ini sedikit lewat kerana kini sudah memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun, ini satu keperluan.

“Pihak jawatan juga sudah menggerakkan pasukan untuk memantau pelaksanaan di premis-premis sekitar lembah kelang dan akan diperluas ke peringkat negeri.

“Sehingga kini, sebanyak 93 premis diperiksa di Cyberjaya, Putrajaya, Seri Kembangan dan juga Dengkil. Sekarang kita dalam fasa untuk mendidik terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu katanya, berdasaekan akta Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) pihak yang mendedahkan maklumat peribadi boleh didenda RM500,000 atau tiga tahun penjara.

“Sekarang kita mahu beri kesedaran dan mendidik terlebih dahulu. Dalam pemantauan yang dilakukan, pihak kami berikan poster dan juga notis untuk setiap premia untuk makluman kepada orang ramai,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here