Tiada lagi baju batik Pak Long Mail selepas ini

0
368
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Sidang akhbar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini diadakan pada setiap hari akan dikurangkan bermula minggu hadapan.

Ismail Sabri yang lebih popular dengan gelaran Pak Long Mail mengumumkan perkarai itu dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, mulai esok, sidang akhbar itu hanya akan bersiaran tiga kali seminggu, iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Tanpa disedari, masa pantas berlalu dan saya sudah bersama anda selama lebih tiga bulan setiap hari pada setiap jam 2 petang.

“Ingin saya maklumkan, hari ini adalah hari terakhir saya akan bersiaran setiap hari dan hari terakhir siaran di hujung minggu,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail yang terkenal dengan fesyen berbaju batik ketika hari hujung minggu turut menyentuh emosi penonton apabila mengumumkan tiada lagi usikan warga maya terhadap rekaan baju dipakainya.

“Tiada lagi baju batik yang menjadi asas kuih muih inspirasi tuan dan puan,” katanya.

Ketika bersiaran ketika bulan Ramadan lalu, fesyen baju batik yang dipakai beliau sentiasa mendapat perhatian penonton.

Malah, baju yang dipakai itu mengingatkan warga maya kepada keenakan pelbagai juadah pada bulan puasa sehingga menjadi inspirasi untuk membuat kek dan air minuman.

Sementara itu, Ismail turut memberi penghargaan kepada kumpulan barisan hadapan yang banyak berjasa dan berkorban membantu kerajaan menyekat penularan wabak Covid-19, juga kepada ahli keluarga mereka yang sentiasa memahami tanggungjawab petugas.

“Malah, pengorbanan pengamal media yang menjalankan tugas tanpa jemu dalam menyampaikan maklumat yang tepat. Terima kasih kepada rakyat Malaysia atas setiap kerjasama yang diberikan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here