
SHAH ALAM – PKR hari ini menerima tamparan hebat apabila Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Dr. Daroyah Alwi mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, Dr. Daroyah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa turut meletakkan jawatan sebagai orang nombor dua dalam sayap wanita parti itu.
“Keputusan ini dibuat kerana saya hilang keyakinan terhadap presiden dan parti yang alpa dengan perjuangan dan hala tuju,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Dr. Daroyah yang juga Ketua Wanita PKR Selangor berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepemimpinan parti itu juga gagal menyelesaikan kemelut dalaman dengan membiarkan perpecahan berterusan.
Katanya, bersama dengan beliau pada sidang media petang ini adalah 13 pemimpin akar umbi wanita PKR Selangor yang akan mengambil pendirian sama dengannya.
Sebelum ini, PKR memecat dan menggantung beberapa pemimpin kanan parti itu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga bekas Timbalan Presiden PKR.
Antara yang digantung keahlian ialah Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd. Talha pada 13 April lalu.