
CYBERJAYA – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengancam untuk menghantar tentera bagi menangani tunjuk perasaan di negara itu susulan kematian George Floyd ketika dalam tahanan polis.
Memetik laporan Agensi seperti dipetik Malaysia Gazzate, Trump menegaskan perkhidmatan tentera akan digunakan sekiranya bandar dan negeri gagal mengawal tunjuk perasaan serta melindungi penduduknya.
Tunjuk perasaan akibat kematian Floyd telah berlarutan sejak tujuh hari lalu.
Ketika Trump membuat kenyataan tersebut, polis menyuraikan tunjuk perasaan di taman berhampiran dengan menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah.
Trump kemudian melintasi taman dan bergambar di sebelah gereja yang rosak, menimbulkan kritikan meluas dalam kalangan orang ramai yang menuduh presiden itu sengaja menyasarkan penunjuk perasaan yang berdemonstrasi secara aman.
Beberapa bandar utama telah melaksanakan perintah berkurung termasuk New York yang dikuatkuasakan sekatan pergerakan sehingga pukul 5 pagi pada hari ini.
Washington pula melanjutkan perintah berkurung untuk tempoh dua malam lagi tetapi demonstrasi sebahagian besarnya berterusan tanpa henti.