Tujuh beranak tinggal berhimpit dalam kereta

0
195

CYBERJAYA- Kisah tular seorang ibu dan enam anak termasuk seorang bayi berusia lima bulan yang tidur dalam kereta setelah diceraikan suami dan diusir tuan rumah mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Lembaga Zakat Selangor menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat wanita berumur 30 tahun itu tinggal di dalam kereta bersama anaknya yang berumur 14, 10, 8, 3 dan 2 tahun serta seorang bayi di stesen minyak Rasa, Kuala Selangor dan menumpang mandi di situ.

Menurut Lembaga Zakat Selangor, kes perceraian ibu muda berkenaan tertangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan suaminya tidak pulang ke rumah sejak penghujung Februari lalu.

“Wanita ini tidak mempunyai pekerjaan setelah diberhentikan oleh majikan sejak PKP pada Mac lalu. Sepanjang PKP beliau pulang ke kampung di Temerloh, Pahang.

“Ibarat jatuh ditimpa tangga, sebaik pulang dari kampung tuan rumah pula meminta beliau keluar dari rumah kerana bayaran sewa tertunggak tidak dibayar oleh ketua keluarganya,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Lembaga Zakat Sepangor, ujian tidak terhenti di situ apabila wanita berkenaan disyaki menghidap kanser payudara, namun belum menerima rawatan susulan lagi.

“Anaknya yang berumur 2 tahun pula mempunyai masalah jantung berlubang dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Serdang dua kali setahun.

“Anak yang berumur 5 bulan pula menghidap ketumbuhan di leher namun belum dapat dikenal pasti dan rawatan susulan di Hospital Selayang,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan keluarga berkenaan kini ditempatkan di sebuah hotel di Bukit Beruntung yang dibiayai oleh NGO, Darul Jariyah.

Dalam pada, Lembaga Zakat Selangor turut menyalurkan sumbangan kecemasan sebanyak RM500 bagi menampung keperluan keluarga itu sementara menunggu bantuan susulan dalam masa terdekat.

“Hasil bancian mendapati keluarga ini layak didaftarkan sebagai asnaf fakir.

“Antara bantuan yang akan disalurkan termasuk deposit dan sewa bulanan rumah, bantuan kewangan bulanan, bantuan makanan bulanan dan bantuan perubatan (rawatan bulanan),” katanya.

Terdahulu, aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng memuat naik kisah wanita itu di akaun Facebooknya.

Menurutnya, wanita berkenaan sudah lebih lima hari bermalam dalam kereta tersebut.

“Mereka dalam keadaan amat letih dan kesusahan. Bayi lima bulan pula tidur dalam kereta dengan keadaan tidak sihat.

“Saya berharap ada pihak berkuasa dapat membantu mereka. Semoga tuhan akan mempermudahkan mereka dengan kebaikan anak-anak Malaysia membantu beliau,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here