
CYBERJAYA – Masyarakat dilarang sama sekali kunjung-mengunjung sempena Hari Raya Aidilfitri walaupun secara lazimnya disambut selama sebulan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana orang ramai masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kementerian Kesihatan ingin ingatkan masyarakat, walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri secara lazimnya disambut selama sebulan tetapi kita masih tertakluk kepada PKPB.
“Kita dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 sekiranya norma dan kelaziman baharu ini dijadikan satu amalan,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Dr. Noor Hisham dalam sidang akhabr sama memaklumkan kemungkinan besar Kluster Pangsapuri di Cheras berpunca dengan aktiviti kunjung mengunjung sebelum dan semasa Hari Raya Aidilfitri.
Setakat ini, enam kes positif direkodkan di kawasan itu di mana tiga kes merupakan penghuni pangsapuri tersebut manakala tiga kes lagi di luar kawasan pangsapuri berkenaan.-MT