0
74

PRK Chini: 20,816 pengundi bakal mengundi esok

Gambar hiasan

CYBERJAYA – Sebanyak 13 pusat mengundi dan 65 saluran akan dibuka esok bagi proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN), Chini, Pahang.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom berkata, sepanjang proses tersebut seramai 838 orang petugas akan bertugas.

“Seramai 20,816 orang pengundi bakal mengundi di PRK ini esok. SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti yang tercatat pada kad pengundi dan tidak keluar mengundi di saat-saat akhir walaupun waktu mengundi telah ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

Pada masa sama, katanya, SPR juga mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok.

“Mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Sementara itu, Azmi turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini.

Katanya, selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

“Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here