Siapa ‘mastermind’ di sebalik laporan Al Jazeera?

0
3172

CYBERJAYA- Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mempersoalkan siapa menjadi ‘mastermind’ di sebalik laporan Al Jazeera mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tular ketika ini.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, tidak mungkin orang-orang Al Jazeera sewenang-wenangnya membuat laporan itu tanpa orang tempatan (rakyat Malaysia) di belakangnya.

Beliau berkata, sebelum ini, ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis-aktivis hak asasi ‘membuat bising’ kononnya golongan PATI ditindas oleh pihak berkuasa.

“Saya sudah menonton video dokumentari yang diterbitkan oleh Al Jazeera mengenai pendatang asing yang tular baru-baru ini. Saya yakin, majoriti rakyat Malaysia telah menontonnya.

“Memang jelas bahawa Al Jazeera telah membuat laporan yang menipu dan memburuk-burukkan Malaysia seolah-olah mereka ini ‘menghalalkan’ sindiket pendatang haram tanpa izin yang sedang parah di Malaysia.

“Negara manakah yang membenarkan pendatang asing haram masuk dan berkeliaran sesuka hati? Apakah semuanya boleh menjadi ‘halal’ di atas nama hak asasi? Selepas ini apa pula yang mahu ‘dihalalkan’ dan memaksa orang lain untuk menerimanya.

“Satu persoalan yang timbul di sini, siapakah yang menjadi ‘mastermind’ yang menyalurkan segala maklumat dan yang mengatur segalanya di belakang pergambaran ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, NGO dan aktivis-aktivis meletakkan pelbagai label pada pihak berkuasa seperti ‘perkauman’ dan sebagainya.

“Label-label inilah juga yang digunakan oleh Al Jazeera dalam dokumentari ini. Apakah mereka ini menjadi dalang di belakang penghasilan dokumentari ini? Pihak polis perlu siasat.

“Jangan lupa, memang ini taktik biasa sesetengah pihak apabila desakan dan propaganda mereka melalui media-media kiri tempatan tidak didengari, maka mereka akan menggunakan media dan pentas antarabangsa bagi menekan negara pula.

“Teruskan menyokong segala usaha membanteras pendatang haram dan segala usaha bagi memelihara kedaulatan negara,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here