2,987 pengembara dari luar negara masih gagal lapor diri

0
164
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Seramai 2,897 pengembara yang tiba ke tanah air dari luar negara masih gagal hadir ke pejabat kesihatan daerah (PKP) untuk mendapatkan pelepasan bebas daripada jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu pihak Kementerian Kesihatan di peringkat ibu pejabat, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah akan terus kerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan.

Beliau berkata, mengikut syarat ditetapkan individu berkenaan perlu tampil ke PKD dengan keputusan ujian Covid-19 yang perlu dijalankan pada hari ke-13 kuarantin.

“Kementerian ingin memaklumkan sehingga 24 Julai lalu, seramai 17,897 orang pengembara telah mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta telah ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD.

“Walau bagaimanapun, sehingga 24 Julai lalu, didapati masih terdapat 2,897 orang pengembara yang masih belum tampil ke PKD untuk mendapat pelepasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan juga menasihatkan pengembara yang telah pulang ke Malaysia dan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah sebelum 24 Julai lalu, dinasihatkan agar mematuhi sepenuhnya kepada syarat yang telah ditetapkan.

“Mereka diarahkan untuk duduk di rumah bagi menjalani kuarantin di rumah sepenuhnya dan elak bercampur gaul dengan ahli keluarga atau rakan serumah. Sekiranya penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain sukar diamalkan, mereka perlu memakai pelitup separuh muka.

“Gunakan juga aplikasi MySejahtera untuk menjalankan penilaian kesihatan kendiri, gelang perintah pengawasan wajib dipakai sepanjang tempoh kuarantin dan perlu menjalani ujian Covid-19 pada hari ke-13 di klinik swasta atau klinik kesihatan yang diiktiraf oleh kementerian, serta mendapatkan salinan keputusan ujian tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, pada hari ke-14, pengembara tersebut perlu hadir ke PKD yang terdekat dengan laporan ujian Covid-19 untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta untuk menanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here