ADUN Rahang umum tarik semula keputusan keluar DAP

0
280
Mary Josephine Prittam Singh – pix MalaysiaKini

SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang Mary Josephine Prittam Singh hari ini mengumumkan menarik semula keputusan awal beliau untuk keluar daripada parti DAP.

Mary berkata, keputusan yang dibuatnya pada 10 Julai lepas untuk meninggalkan parti itu adalah ‘menyakitkan’ namun lebih ‘menyakitkan’ apabila terpaksa melalui 10 hari tanpa parti yang telah diperjuangkan sejak lebih 40 tahun lepas.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya, mereka yang mengundi saya, dan semua pemimpin parti, terhadap sokongan, pesanan dan gesaan mereka. Sepuluh hari berlalu sejak saya umum peletakan jawatan, dan saya perlu akui ia amat “menyakitkan” bagi saya meninggalkan parti,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Saya akan mematuhi semua keputusan yang dibuat parti dan saya tidak mengharapkan mereka membuat apa-apa perubahan terhadap sebarang keputusan mereka. Saya tidak harapkan parti membuat keputusan “pusingan-U” hanya semata-mata kerana saya,” katanya dan menambah beliau tidak mengenakan apa-apa syarat untuk kembali semula ke dalam parti.

Sementara itu, Loke berkata, keputusan Mary untuk menarik semula keputusannya itu memberi mesej yang kuat bahawa Pakatan Harapan di Negeri Sembilan kekal stabil untuk terus mentadbir hingga akhir tempoh penggal ini.

“Walaupun dia umum perletakan jawatan dari DAP, tetapi saya yakin 100 peratus pada beliau, bahawa beliau tidak akan sokong pihak lawan iaitu Barisan Nasional (BN) kerana kita tahu ada ura-ura pihak BN mahu tarik ADUN Rahang untuk sokong mereka.

“Bagi saya beliau tidak pernah tinggalkan DAP kerana saya amat kenali beliau dan dalam beberapa hari ini memang beliau ada nyatakan bahawa amat susah untuk dirinya hidup gembira tanpa DAP,” katanya.

Berdasarkan perkembangan terbaharu ini, Dewan Undangan Negeri Sembilan kembali kepada posisi asal iaitu PH mempunyai 20 kerusi manakala BN mempunyai 16.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here