Agong ucap tahniah kepada Dr. Masliza

0
344

CYEBRJAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr. Masliza Mahmod di atas pelantikannya sebagai Profesor Madya bagi Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran dalam laman Facebook Istana Negara, baginda turut menzahirkan rasa bangga di atas kenaikan pangkat tersebut dan juga di atas kejayaan Dr. Masliza melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia dilantik ke jawatan tersebut.

Pada masa sama, baginda turut berbangga kerana kejayaan Dr. Masliza itu telah mengharumkan nama negara di persada dunia.

Sehubungan itu, baginda menzahirkan harapan semoga pencapaian dan ketabahan Dr. Masliza menjadi sumber inspirasi dan tauladan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada dunia.

Ucapan tahniah daripada Agong kepada Dr. Masliza

“Seri Paduka Baginda mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr. Masliza dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan di dalam bidang kardiologi dan sebagai seorang pakar kardiologi yang ulung di dunia,” katanya hari ini.

Menurut Jabatan Perubatan Radcliffe di Universiti Oxford, penyelidikan Dr Masliza memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular (CMR), teknik-teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baharu untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

Doktor berusia 47 tahun dari Batu Pahat, Johor itu kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Ahli Royal College of Physicians (MRCP) dari London itu memiliki ljazah Sarjana Perubatan Dalaman (MMed) dari Malaysia dan ijazah perubatan awal (MBChB) dari Universiti Otago, New Zealand.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here