Al Jazeera perlu mohon maaf laporan tidak beretika

0
415

CYBERJAYA – Malaysia mengecam laporan berniat jahat yang disiarkan oleh agensi berita antarabangsa Al Jazeera melalui dokumentari mengenai cara negara ini pengendalian pendatang asing tanpa izin dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan tidak berasas dan beretika oleh wartawan agensi antarabangsa itu perlu disusuli dengan tindakan memohon maaf kepada rakyat negara ini.

“Kita minta Al Jazeera menghentikan tindakan (menyiarkan dokumentari) dan mohon maaf kerana laporan yang sengaja memburuk-burukkan nama baik Malaysia,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini.

Al Jazeera baru-baru ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown yang memaparkan olahan berat sebelah dan mengelirukan yang mengambarkan layanan buruk kerajaan terhadap PATI semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ismail Sabri berkata agensi berita itu juga melakukan pembohongan apabila mendakwa kanak-kanak warga asing tanpa izin diperlakukan dengan kejam termasuk digari ketika dibawa ke Depot Tahanan Imigresen (DTI).

“Menuduh tindakan kita bersikap rasis juga tidak benar. Apa yang dilakukan berdasarkan undang-undang. Kita gunakan akta Imigresen untuk tangkap mereka yang tiada dokumen sah.

“Tanya Al Jazeera. Berikan mana-mana negara yang membenarkan warga asing yang tiada dokumen boleh bebas di negara mereka. Saya cabar Al Jazeera tunjukkan negara mana yang berikan kebebasan mutlak. Setahu saya tidak ada,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob

Menurut Ismail Sabri, realiti yang berlaku ialah kanak-kanak itu tidak digari malah diasingkan daripada tahanan lain dan ditempatkan bersama ibu bapa mereka.

“Ini fakta sebenar. Al Jazeera tak ingin tahu fakta sebenar ini bahkan atas niat tidak baik menuduh kita rasis, ini juga tidak benar,” katanya.

Ismail Sabri juga secara tegas berkata tindakan pihak imigresen menahan pendatang tanpa izin adalah berlandaskan Akta Imigresen yang membolehkan individu yang tidak mempunyai dokumen sah ditangkap dan ini selaras dengan undang-undang di negara lain.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong setiap langkah kerajaan dalam menangani warga asing sepanjang Covid-19.

“Semalam, button ‘dislike’ di YouTube Al Jazeera beratus ribu sehingga Al Jazeera stop (menutup) ruang komen, habis 100 peratus tak setuju,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here