Anak kapal mula kerja wajib jalani ujian saringan Covid-19

0
183


CYBERJAYA-  Anak kapal yang menjalani proses ‘sign on’ (mula kerja) perlu menjalani ujian saringan Covid-19 selepas tiba di pintu masuk antarabangsa negara. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan Kementerian Kesihatan mendapati kes import yang menyumbang jumlah tinggi kes harian Covid-19 baru-baru ini membabitkan anak kapal berkenaan. 

“Kerajaan hari ini mengambil keputusan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pertukaran anak kapal (sign on dan sign off) termasuk menjalani ujian saringan Covid-19.

“Sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan dan bagi yang negatif pula akan dikuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin dan perlu menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke-13,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ismail Sabri, jika keputusan didapati negatif anak kapal akan dibenarkan untuk menjalani proses ‘sign on’ di pelabuhan.

“Bagi proses ‘sign off’ pula, anak kapal perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di pelabuhan. Sekiranya positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan manakala yang negatif wajib menjalani proses kuarantin 14 hari,” katanya. 

Selain itu katanya, sekiranya negatif, mereka akan dibenarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke negara masing-masing.

“Kos kuarantin wajib 14 hari termasuk kos ujian saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan anak kapal,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here