Aspirasi nama ‘Malakat’ beri kelebihan kepada orang Melaka

0
374
Aspirasi nama Malakat beri kelebihan untuk orang Melaka

RAUDHAH CITY – Pembukaan dua cawangan baharu Malakat Mall di Melaka akan memberi peluang perniagaan kepada ribuan rakyat di negeri itu khsususnya dalam kalangan usahawan bumiputera.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, selain cawangan di Masjid Tanah, pihaknya juga sedang dalam perbincangan akhir untuk menerima tawaran di tengah bandar raya Melaka iaitu di The Shore.

“Pembukaan dua Malakat Mall baharu ini akan memberi peluang perniagaan kepada rakyat Melaka.

“Jika diikutkan rancangan awal, kami hanya mahu fokus (operasi) di Lembah Klang dahulu tapi kami terima banyak tawaran khususnya dari Melaka.

“Mungkin kerana aspirasi nama Malakat itu sendiri. Dan memang matlamat kami adalah untuk mengembalikan kegemilangan bangsa Melayu pada era Kesultanan Melayu Melaka,” katanya ketika ditemui pada Hari Bertemu Pembekal/Vendor Malakat Mall di sini hari ini.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim memberi taklimat semasa Hari Bersama Vendor Malakat Mall di Cyberjaya. foto FARID JANUDIN.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, Malakat Mall di Masjid Tanah dijangka beroperasi pada 1 Disember ini dan kini dalam proese menunggu majlis penyerahan kunci.

“Kita sudah pun terima surat perjanjian penyewaan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Ujian operasi akan dilakukan pada November.

“Gedung beli belah milik Mara ini mempunyai keluasan kira-kira 40,000 kaki persegi dan akan menempatkan pasar raya Raudhah Grocer di aras G dan premis perniagaan lain di aras satu,” katanya.

Mengulas mengenai tawaran pengambil alihan lokasi The Shore oleh Perbadanan Hartanah Bumiputera (PHBP), beliau yakin kedudukan bangunan yang strategik dapat memberi banyak peluang.

“Sekarang kami di peringkat perbincangan akhir untuk memuktamadkan tawaran mereka.

“Kalau diikutkan ia bukan keutamaan kami tetapi kami sedia menerima tawaran itu sebagai amanah untuk membantu PHBP kerana dana mereka adalah dana bumiputera,” jelasnya.

Menurut beliau, The Shore mempunyai saiz yang lebih besar daripada Malakat Mall di Cyberjaya dengan keluasan lebih 200,000 kaki persegi dan terletak di tengah bandar raya Melaka dan di tepi Sungai Melaka.

Katanya, pembukaan cawangan baharu itu bertepatan dengan sasaran untuk membuka 100 cawangan Malakat Mall di seluruh negara.

“Sasaran 100 pusat beli belah dipermudahkan… kita dapat tawaran lain di Kedah, Pahang, Johor dan Perak. Cuma kita sedang mempertimbangkan mana yang berpotensi,” katanya.

Sementara itu Coach Fadzil berkata, kejayaan Malakat Mall hasil sokongan umat Islam seharusnya memberi motivasi yang besar kepada semua penjuang dan pengguna Islam.

Justeru beliau menyeru orang ramai supaya menyokong perjuangan itu dengan menjadi ahli Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

“Satukan kemampuan kita dengan menjadi ahli KoPPIM dan membeli saham RM100 sebulan untuk mengumpul dana pelaburan dan seterusnya ‘memiliki’ Malakat Mall ini,” katanya.

Antara pembekal yang hadir pada sesi Hari Bersama Vendor di Malakat Mall di Cyberjaya. foto FARID JANUDIN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here