Azalina wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

0
447
Datuk Seri Azalina Othman Said

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menjadi ahli Parlimen wanita pertama yang dimasyhurkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Azalina, 57, itu dibuat bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.

“Terima kasih kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana bersetuju atas cadangan ini.

“Saya melihat perkara ini merupakan satu pendekatan yang baik kepada Malaysia kerana sebelum ini kita ada wanita sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

“Hari ini di Dewan Rakyat pula, ini merupakan langkah permulaan dan saya berharap di masa hadapan di kedua-dua dewan ini akan ada Yang Dipertua dalam kalangan wanita,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengusulkan supaya Azalina dipilih menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mempunyai kelulusan dalam Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics dan Diploma Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azalina berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes tuntutan sivil melibatkan isu perbankan korporat dan komersial.

Malah ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), beliau pernah menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here