Berkayuh waktu malam di Banjaran Titiwangsa antara pengalaman mendebarkan peserta Tour De Malaya

0
338
Peserta Tour De Malaya bergambar bersama Pengurus Tahan Sport, Mohd. Fuad Rahim (empat dari kiri)

RAUDHAH CITY – Pengalaman menuruni Banjaran Titiwangsa pada waktu malam dengan berbasikal antara pengalaman tidak dapat dilupakan oleh peserta kayuhan Tour De Malaya yang terlibat dalam misi berkayuh mengelilingi Semenanjung.

Menceritakan semula pengalaman tersebut,
Mohd. Faizal Md. Pilus, yang merupakan salah seorang daripada empat peserta kayuhan itu berkata, ketika itu keadaan sangat gelap-gelita namun mereka tetap perlu meneruskan kayuhan.

“Keadaan ketika itu sangat gelap dan berbahaya. Kami risau kerana kiri kanan hutan dan bimbang sekiranya tiba-tiba muncul binatang buas,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Terdahulu, Mohd. Faizal bersama tiga lagi ahli pasukan tersebut iaitu Muhammad Irwan Yusuf, Syed Mubarak Ali dan Mohd. Hazwan Mohd. Sapian tiba di Malakat Mall di sini selepas berjaya menamatkan kayuhan sejauh 2,200 kilometer yang bermula dari Sepang.

Ketibaan kesemua peserta itu yang disambut oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim dan Pengurus Tahan Sport, Mohd. Fuad Rahim turut dikejutkan dengan gimik semburan air oleh pasukan bomba.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi peserta, Muhammad Irwan, misi jelajah itu juga diambil selepas berehat terlalu lama di rumah berikutan langkah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, disebabkan itu mereka memutuskan untuk berkayuh selepas kerajaan melonggarkan PKP baru-baru ini.

Sementara itu, Muhammad Irwan yang mewakili pasukan tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam misi itu termasuk penduduk setempat.

“Semua kawasan yang kami singgahi mendapat layanan yang baik daripada penduduk.

“Malah, dalam misi kayuhan ini kami juga disertai oleh 15 peserta kayuhan lain dari pelbagai negeri sebagai tanda sokongan,” katanya yang juga Rangers di Tahan Sport.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here