Bot Vietnam ceroboh perairan negara ditahan

0
230

Nelayan asing yang ditahan oleh Maritim Malaysia Terengganu, kelmarin

CYBERJAYA – Sebanyak empat bot nelayan Vietnam yang cuba menceroboh perairan negara di empat lokasi berbeza pada jarak 163 batu nautika hingga 165 batu nautika dari Kemaman, Terengganu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Menurut Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli, keempat-empat bot tersebut ditahan kelmarin oleh kapal Maritim KM Satria yang sedang melakukan rondaan Ops Iman.

“Bot bersama 31 kru termasuk tekong berumur 16 hingga 55 tahun ditahan kerana tiada lesen dan pengenalan diri serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia.

“Pemeriksaan lanjut menemui hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan keseluruhan bernilai hampir RM5 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kesemua bot tersebut bersama kru dan tekong di bawa ke jeti zon Maritim Kemaman untuk siasatan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia.

Nelayan Vietnam yang ditahan di perairan negara, kelmarin

Pada masa sama, katanya, mereka juga ditahan di bawah Akta Imigresen kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

Dalam pada itu, Muhammad Suffi berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja, sebanyak 12 bot nelayan asing Vietnam telah ditangkap dan ditahan oleh Maritim Terengganu.

“Pihak Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan di perbatasan sempadan negara bagi mengekang kebanjiran nelayan asing yang tidak serik mencerobohi perairan negara dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut meminta kerjasama masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here