Brainy Bunch dan Malakat Mall bergema dengan sorakan Kumpulan OTAi

0
1506

RAUDHAH CITY – Bangunan ibu pejabat Kumpulan Brainy Bunch serta pusat beli belah Malakat Mall hari ini bergema dengan sorakan semangat daripada Kumpulan OTAi.

Sorakan semangat itu menjadi ‘trademark’ Kumpulan OTAi bagi memberi semangat kepada ahlinya selain tanda penghargaan kepada ketua atau Pengasasnya, Dr. Suhaimi Abas.

Pada hari ini lebih 200 ahli Kumpulan OTAi yang diketuai Dr. Suhaimi mengadakan lawatan ke ibu pejabat Brainy Bunch, Raudhah Ville dan berakhir di Malakat Mall.

Menurut Dr. Suhaimi, kehadiran beliau bersama para ahli Kumpulan OTAi ialah bagi menyaksikan sendiri segala kemajuan yang telah dicapai oleh Kumpulan Brainy Bunch.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah berjumpa lagi orang yang mempunyai semangat seperti Coach Fadzil (Pengasas Kumpulan Brainy Bunch) dan kumpulannya.

“Beliau dan pasukanya menaikkan ekonomi Islam. Saya dan Coach Fadzil ini berkenalan selepas diperkenalkan oleh Tokki ( Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan).

“Tokki kata ini (Coach Fadzil) orang yang baik dan kena bantu, jarang jumpa orang macam ini. Tokki dan Coach Fadzil datang ke rumah saya pada Ramadan lalu.

“Waktu itu kami berjumpa buat kali pertama, berborak pukul 10 malam hingga 4 pagi. Masing-masing perkenalkan objektif dan hala tuju dan rupanya kami sehaluan,” katanya.

Dr. Suhaimi berkata, beliau kagum dengan perjuangan Coach Fadzil yang membuka tadika dan dijenamakan sebagai Brainy Bunch sehingga mempunyai lebih 100 cawangan dan 1,800 pekerja.

“Mereka ada sistem pendidikan awal kanak-kanak, sekolah serta kolej. Sekarang ada perniagaan dan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

“Ini satu organiasi yang lengkap. Kami merancang untuk bekerjasama, Apa yang Kumpula OTAi buat dan Kumpulan Brainy Bunch buat adalah perkara yang sama.

“Kita memerlukan antara satu sama lain. Islam kata, ibarat batu bata, mereka memerlukan antara satu sama lain, untuk dirikannya kena bergabung dan bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, Coach Fadzil berkata, beliau difahamkan, kunjungan ke Kumpulan Brainy Bunch hari ini merupakan buat kali pertama Kumpulan OTAi berkumpul melebihi 200 orang.

“Buat kali pertama mereka berkumpul sebanyak ini dan datang kepada kepada kita. Mereka diberikan pendedahan tentang perjuangan KoPPIM selain Brainy Bunch dan Malakat Mall.

“Alhamdulillah Kumpulan OTAi bersetuju untuk bersatu dalam koperasi, mereka akan jadi ahli KoPPIM. Mereka juga komited dengan perjuangan kita dan menaikkan ekonomi Islam.

“Kita di peringkat KoPPIM dan Malakat Mall bersetuju dengan Kumpulan OTAi. Insya-Allah mereka akan diberikan peluang dalam perniagaan kita terutamanya di Malakat Mall,” katanya.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here