Buku hina Jata Negara diharamkan

0
309
Kulit buku Rebirth yang didakwa menghina Jata Negara

CYBERJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan pengharaman ke atas buku berjudul Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia yang didakwa menggunakan visual menghina dan mengubah suai Jata Negara berkuat kuasa semalam.

Menerusi Warta Kerajaan bertajuk Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020, ia membabitkan larangan secara mutlak terhadap buku berkenaan.

Perintah bertarikh 1 Julai 2020 itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Warta itu turut menamakan penyunting buku, Kean Wong dan penerbitnya, Strategic Information and Research Development Centre beralamat di Petaling Jaya.

Turut dinamakan dalam Warta Kerajaan itu ialah pencetak buku berkenaan, Vinlin Press Sdn Bhd, yang beralamat di Puchong.

Warta Kerajaan itu menyebut perintah itu dibuat melalui peruntukan mengikut subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] yang membolehkan Menteri membuat perintah berkenaan.

“Pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pekeliling, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan dalam jadual yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan memudaratkan kepentingan negara adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia,” katanya.

Kelmarin polis menyerbu sebuah pejabat
syarikat penerbitan yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap logo Jata Negara di Seksyen 11, Petaling Jaya.

Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas 313 naskah yang masih tersimpan dan belum terjual.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here