Covid-19: Kes masih kekal 2 angka

0
109
Dr. Noor Hisham

CYBERJAYA – Kes penularan Covid-19 di Malaysia terus kekal pada dua angka untuk lima hari berturut-turut meskipun terdapat sedikit penurunan bilangan kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 12 tengah hari, terdapat sebanyak 13 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 adalah sebanyak 8,897 kes.

Beliau berkata, kes yang masih aktif pula adalah sebanyak 173 kes.

“Daripada 13 kes baharu yang dilaporkan ini, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan seorang warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Tiga kes import tersebut adalah dari negara Pakistan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); Kazakhstan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Indonesia (1 kes di Kelantan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Status terkini Covid-19

Mengulas lanjut, katanya, daripada 10 kes penularan di dalam negara, satu kes adalah di kalangan bukan warganegara manakala baki kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

“Kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara adalah melibatkan satu kes di Johor iaitu kes daripada kluster Bukit Tiram.

“Kes penularan Covid-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia pula melibatkan enam kes di Johor iaitu daripada kluster Bukit Tiram; satu kes di Pahang iaitu melibatkan saringan pra-prosedur; satu kes di
Sabah melibatkan saringan kontak rapat kepada kes ke-8,662 dan satu kes di Sarawak yang berkait dengan kluster Sentosa,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan satu lagi kes kematian akibat Covid-19 hari ini.

“Kes kematian ke-124 merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia.

“Beliau mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai lalu serta mendapat rawatan pada 9 Julai. Beliau dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari yang sama untuk rawatan lanjut.

“Ujian Covid-19 didapati positif. Keadaan beliau didapati merosot dan kemudiannya semakin tenat. Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 12.04 pagi hari ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here