Covid-19: Kluster Jupiter antara empat kluster baharu dikesan hari ini

0
159
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan mengesan empat kluster baharu hari ini yang mana kebanyakannya berpunca daripada kes import dan melibatkan rakyat luar negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, empat kluster itu ialah kluster Pitakwa, kluster Shirala, kluster Pusat Perubatan Kuching dan kluster Jupiter.

“Kes indeks kluster Pitakwa merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari Nigeria pada 11 Julai lalu. Saringan Covid-19 di pintu masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif.

“Tiga hari selepas ketibaan di Malaysia beliau perlu menjalani ujian ulangan bagi Covid-19 kerana mula mengalami gejala yang lebih teruk di mana beliau dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Susulan itu, 44 kontak rapat telah dikenalpasti dan disaring terutama dari kalangan ahli keluarga, penumpang dan krew kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kes kluster Shirala pula berpunca daripada seorang bukan warganegara golongan professional yang telah tiba di Malaysia pada 6 Julai lalu atas urusan kerja.

Katanya, setakat ini, dua kontak rapat pesakit itu telah dikenalpasti di mana satu satu kes dikesan positif Covid-19 dan seorang lagi adalah negatif.

Dalam pada itu, katanya, kes kluster Pusat Perubatan Kuching pula melibatkan seorang petugas kesihatan rakyat tempatan yang dikesan positif Covid-19 pada 14 Julai lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Kes kluster Jupiter pula merupakan seorang bukan warganegara yang merupakan krew sebuah kapal yang berlayar dan mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun dan Singapura.

“Beliau mula mengalami gejala pada 3 Julai lalu dan gejala menjadi semakin teruk pada 11 Julai lalu di perairan Sarawak. Beliau telah dimasukkan ke pusat perubatan dan saringan Covid-19 didapati positif.

“Susulan itu, 29 kontak rapat telah dikenalpasti di dalam kapal tersebut di mana kesemuanya adalah merupakan krew kapal,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here