Covid-19: Satu kes kematian hari ini

0
91

CYBERJAYA- Selepas lapan hari tiada pesakit dilaporkan maut, hari ini negara mencatatkan satu kematian akibat jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-123 membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi kronik dan strok. 

“Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan pertambahan satu kes kematian menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 123 kes setakat hari ini.

“Mangsa merupakan penghuni di pusat jagaan warga emas dan mula mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai lalu.

“Beliau dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 17 Julai dan meninggal dunia setibanya di wad kecemasan dan disahkan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit berkenaan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.51 malam semalam.

Sementara itu katanya, setakat pukul 12 tengah hari ini, terdapat 15 kes baharu dilaporkan menjadikan 8,779 jumlah keseluruhan kes.

“Ini bermakna jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 103 kes. Mereka sudah diasingkan dan diberikan rawatan.

“Daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja (satu kes) dan pasangan kepada rakyat Malaysia (satu kes) iaitu dari United Kingdom (dua kes), India (satu kes) dan Libya (satu kes),” katanya.

Menurutnya, daripada 11 kes penularan di dalam negara, lapan kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan tiga kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Jumlah yang pulih dan discaj hari ini pula sebanyak tujuh kes dengan jumlah kumulatif 8,553.

“Kini ada dua individu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here