Dr. Noor Hisham kongsi kisah berhubung dengan ketua tabligh

0
1268
Datuk Dr. Noor Hisham berkongsi foto beliau berhubung dengan ketua tabligh pada Mac lalu

CYBERJAYA – Di sebalik kejayaan menamatkan kluster Masjid Sri Petaling hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan petugas kesihatan terpaksa mengharungi tempoh empat bulan yang sangat mencabar bagi memastikan penularan wabak Covid-19 diputuskan.

Mengimbas semula detik awal ketika kluster tersebut dikesan, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya telah berhubung dengan ketua jemaah tabligh bagi mendapatkan kerjasama mereka untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Beliau berkata, pertemuan tersebut yang dibuat secara atas talian diatur oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ia merupakan permulaan bagi satu kisah yang panjang bagi menyelesaikan isu ini.

“Akhirnya detik yang dinantikan tiba hari ini, kami mengambil masa empat bulan yang penuh mencabar dan berkejar dengan masa bagi menjejaki kontak rapat untuk menghentikan kluster ini,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dalam menyumbang tenaga dan masa bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Beliau juga berdoa supaya Allah memberkati usaha semua yang terlibat.

Dr. Noor Hisham hari ini mengumumkan kluster Covid-19 terbesar di Malaysia itu tamat hari ini selepas 28 hari tanpa kes terbaharu.

Kes positif Covid-19 pertama kluster itu dilaporkan di dalam negara pada 11 Mac lalu iaitu seminggu selepas perhimpunan tersebut.

Sehingga 8 Julai lalu, sebanyak 42,023 individu telah disaring dan 3,375 kes disahkan positif Covid-19 dan 34 orang daripada kluster tersebut maut selepas mendapatkan rawatan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here