Dua kluster baharu jadikan 19 kluster aktif dalam negara

0
283

CYBERJAYA – Dua lagi kluster baharu Covid-19 dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu di kluster Hyde Park di Selangor dan kluster PUI Melbourne di Sarawak menjadikan kluster aktif dalam negara kini berjumlah 19 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Hype Park dikesan di atas kapal di Pelabuhan Klang daripada seorang anak kapal warga Rusia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir dan India.

Katanya, saringan yang dilakukan terhadap kru kapal sebelum pulang ke negara asal mendapat individu berkenaan positif Covid-19.

“Sehingga hari ini, keseluruhannya 24 orang telah disaring dengan empat disahkan positif Covid-19.

“Semua kes positif dalam kluster ini adalah bukan warganegara. Mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala kesemua kontak rapat yang negatif pula dikuarantin di atas kapal itu. 

“Untuk rekod, jumlah terkini kluster yang masih aktif di negara ini ialah 19 kluster,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelasnya, kluster terbaharu itu tidak membawa risiko penularan jangkitan dalam komuniti kerana merupakan kluster import yang terpencil dan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di atas kapal tersebut.

Dr. Noor Hisham berkata, seramai 21 kontak rapat dalam kluster itu, merangkumi penumpang pesawat dan kenderaan awam yang berkaitan, telah disaring dan masih menunggu keputusan, sementara punca jangkitan masih disiasat.

Bagi Kluster PUI Melbourne, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster itu merupakan seorang pelajar tempatan (kes ke-8749) yang pulang dari Australia pada 15 Julai.

Pelajar itu menaiki dua pesawat, iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari Kuala Lumpur ke Kuching.

“Dari pintu masuk umum Kuching, Sarawak, beliau seterusnya dibawa ke pusat kuarantin di mana saringan COVID-19 didapati positif pada 17 Julai. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan dan satu lagi kes positif telah dikesan dalam kluster ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya masih mengekalkan waktu melawat dan jumlah pelawat pesakit di hospital KKM seperti yang dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pemulihan (PKPP).

Katanya, pelawat hanya dibenarkan masuk ke dalam wad bagi kes kecemasan atau kes kritikal atau keadaan yang memerlukan, manakala waktu melawat dipendekkan mengikut ketetapan hospital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here