Generasi muda perlu perbetul persepsi pelaburan koperasi

0
211

CYBERJAYA – Generasi muda perlu merebut peluang untuk menjana pendapatan dengan menjadi ahli Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) melalui pelaburan di Malakat Mall.

Kordinator Pendaftaran dan Pendaftaran Keanggotaan KoPPIM, Meor Ezree Syazrin berkata, sambutan generasi muda terhadap penjualan syer melalui keanggotaan itu masih ‘sepi’ berkemungkinan kurangnya pemahaman terhadap sistem koperasi.

Beliau berkata, kebanyakan golongan muda berpendapat koperasi adalah satu bentuk pelaburan untuk orang-orang tua atau sudah pencen dan tidak begitu menguntungkan.

“Pembelian syer KoPPIM ini adalah sebagai sokongan dan perjuangan jangka panjang untuk membina ekosistem ekonomi yang dimiliki oleh kita umat Islam.

“Kita harap golongan muda dapat ubah pemikiran mereka dan menilai manfaat daripada usaha dan kempen ini untuk sama-sama merebut peluang,” katanya.

Meor Ezree Syazrin

Menurut Meor Ezree, pembelian syer KoPPIM pada harga RM100 sebulan selama 10 tahun menawarkan kadar dividen sehingga 15 peratus dan lebih menguntungkan berbanding kebanyakan pelaburan yang lain.

“Bayangkan dalam masa 10 tahun dengan hanya komitmen RM100 sebulan kita dapat bina satu ekosistem ekonomi Islam yang memberi manfaat kepada semua.

“Sebagai permulaan, KoPPIM merasakan Malakat Mall adalah platform terbaik untuk menjayakan matlamat ini,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP, Malakat Mall melalui Raudhah Grocer menunjukkan prestasi yang sangat baik serta dapat membantu orang susah ( misi zero hunger) walaupun tanpa adanya dana dari KoPPIM. Bayangkan dengan adanya dana dari KoPPIM semestinya dapat menggandakan usaha tersebut.

Bahkan katanya, dalam kunjungan pihak pengurusan tertinggi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) baru-baru ini, mereka cukup yakin dan percaya dengan usaha yang dilakukan KoPPIM dan Malakat Mall.

“Malakat Mall sudah menjadi satu fenomena baharu. Ramai yang mahu Malakat Mall dibina di tempat mereka. Realiti kejayaan itu boleh dilihat di cawangan pertama di Cyberjaya.

“Melalui dana KoPPIM juga, kami mensasarkan pembukaan 100 buah Malakat Mall di seluruh negara dan 5,000 rangkaian pasaraya Raudhah Grocer.

“Jadi rebutlah peluang untuk menjadi ‘pemilik bersama’ Malakat Mall dengan menjadi ahli KoPPIM,” katanya.

Sementara itu tambah beliau, pihaknya turut memperkenalkan ‘program rujukan’ yang melayakkan setiap ahli menerima imbuhan sebanyak RM10 bagi setiap pendaftaran baharu yang dibawa masuk.

“Manfaat ini mudah sahaja, hanya dengan menggunakan nombor ahli, anda boleh mendaftarkan sesiapa sahaja sebagai ahli baharu dan menerima imbuhan RM10 yang dibayar setiap bulan,” katanya.

Pendaftaran KoPPIM kini boleh dibuat secara dalam talian di alamat www.koppim.com.my – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here