Hari Jumaat diiktiraf Hari Jawi

0
390
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

CYBERJAYA – Bermula hari ini, hari Jumaat pada setiap minggu diiktiraf sebagai Hari Jawi sebagai usaha untuk memartabatkan tulisan warisan negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, usul tersebut telah dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu dan mendapat sokongan penuh daripada
semua jemaah menteri.

“Bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut akan menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi.

“Di samping itu, penggunaan tulisan Jawi di media sosial juga diperluaskan kepada setiap media sosial rasmi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini.

Katanya, tulisan Jawi menjadi bahasa perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat sejak dahulu.

Pada masa sama, katanya, tulisan Jawi turut diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here