Hobi bawa pulangan lumayan

0
358

ARAU -Bermula sekadar hobi, seorang suri rumah dari Kampung Padang Siding di sini mampu menjana pendapatan empat angka sehari hasil tanaman bunga ros Jepun atau kembang 10 yang diusahakan wanita itu sejak lima tahun lalu.

Malah, laman depan rumah Siti Aida Ramli,37, juga sentiasa menjadi tumpuan orang ramai yang datang dari seluruh negara untuk membeli selain ingin melihat pemandangan indah apabila bunga berkenaan kembang mekar setiap pagi.

Ibu kepada dua orang anak berusia 14 dan tujuh tahun itu berkata, setiap tujuh keratan bunga ros Jepun pelbagai warna dijual dengan harga serendah RM2 dan dalam sehari sebanyak 2,000 sehingga 3,000 keratan mampu terjual dengan pendapatan sekitar RM1,000.

Malah, dia juga menjual bunga itu melalui atas talian khususnya untuk pelanggan dari luar negeri ini yang dipromosi melalui laman Facebooknya iaitu Laman Rj Aida Azizi.

Siti Aida memberitahu, terdapat lima jenis bunga ros Jepun pelbagai warna terdiri daripada Grandi, Jambul, Duna, Big, Carnation dan Tiara.

“Bunga Ros Jepun ini tidak mempunyai banyak kerenah dan mudah dijaga. Paling penting, pokok perlu diletakkan di bawah terik matahari selain diberi baja seminggu sekali.

“Saya sekadar ingin mengisi masa lapang ketika mula mengusahakan tanaman ini dengan permulaan sebanyak 60 pokok yang dibeli secara atas talian sebelum menambahnya secara berperingkat. Kesemua bunga itu, ditanam di dalam tayar terpakai yang diasing mengikut jenis dan warna

“Saya tidak sangka selepas lima tahun mengusahakan tanaman ros Jepun, hobi saya itu akhirnya membawa pulangan,” katanya.

Tambah Siti Aida, dia turut menerima tempahan dari Brazil, Italy, Thailand dan Indonesia namun terpaksa menolaknya kerana bimbang berlaku kerosakan sebelum sampai ke tangan para pelanggan di luar negara itu.

Sementara itu, Siti Aida merancang menjadikan laman bunga ros Jepun itu sebagai salah sebuah lokasi tarikan pelancong di negeri ini.

“Saya sudah berjumpa Menteri Besar Perlis memberitahu cadangan tersebut dan diharap mendapat perhatian. Hal demikian kerana, setiap hari, pasti akan ada pengunjung singgah untuk melihat keindahan bunga berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here