Imbasan jantung pesakit Covid-19 dedahkan kejanggalan

0
482
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Imbasan jantung pesakit Covid-19 mendedahkan beberapa kejanggalan yang memberi kesan pada kemampuan otot tersebut untuk mengepam darah.

Dan dalam kes yang kritikal, kejanggalan ini turut berpotensi menyebabkan kegagalan organ yang mengancam nyawa.

Menurut portal The Guardian, sekumpulan pakar dari Universiti Edinburgh telah memeriksa imbasan jantung ataupun ‘echocardiogram’ 1,200 pesakit dari 69 buah negara dan mendapati, 55 peratus mempunyai masalah jantung, dengan satu daripada tujuh yang diperiksa mempunyai ‘kejanggalan yang teruk’.

Antara kejanggalan yang ditemukan termasuk kerosakan pada bahagian ventrikel jantung pada 1/3 pesakit, diikuti dengan 3 peratus pernah mengalami serangan jantung, dan 3 peratus lagi mengalami keradangan tisu.

Majoriti pesakit dalam sampel yang dikaji tidak pernah mengalami masalah jantung sebelum imbasan mereka diperiksa.

“Kumpulan yang mempunyai kejanggalan (pada imbasan jantung mereka) agak tinggi,” kata Dr. Anda Bularga, salah seorang saintis dalam kumpulan pengkaji tersebut.

“Separuh daripada imbasan tersebut mempunyai kejanggalan, dan ini membuatkan kami berpendapat ia mungkin disebabkan oleh jangkitan (Covid-19),” katanya lagi.

Dapatan ini mengukuhkan lagi bukti bahawa Covid-19 bukan sahaja memberi kesan pada paru-paru tetapi juga organ penting lain seperti otak dan jantung.

Kajian awal di China dan Itali menunjukkan, sehingga 20 peratus daripada pesakit Covid-19 mengalami kerosakan jantung.

“Sebelum ini, kita telah mengetahui kerosakan jantung turut berlaku dalam kes influenza yang teruk, namun kami agak terkejut dengan dapatan kajian ini.

“Kini, kita perlu memahami mekanisma kerosakan ini, sama ada ia boleh diubati dan jika ia mempunyai kesan jangka panjang,” kata Bularga lagi.

Oleh kerana jangkitan Covid-19 menyebabkan keradangan pada tisu paru-paru dan penumpukan cecair, jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam bekalan darah yang mengandungi oksigen ke seluruh badan.

Ini secara langsung boleh menyebabkan kegagalan jantung, ataupun kerosakan tisu pada otot tersebut kerana kekurangan oksigen.

Dan dalam sesetengah kes, Covid-19 boleh menjangkiti tisu jantung dan menyebabkan keradangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here