Jemaah tabligh Malaysia ditahan di India selamat pulang

0
240
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

CYBERJAYA – Kumpulan pertama jemaah tabligh dari Malaysia yang ditahan pihak berkuasa India kerana didakwa menyalahgunakan visa lawatan sosial untuk aktiviti keagamaan selamat pulang ke tanah air hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebahagian besar telah dibebaskan pihak berkuasa India dan kumpulan pertama seramai 62 orang telah pulang ke Malaysia pagi ini.

“Terima kasih ahli keluarga jemaah tabligh dan rakyat Malaysia kerana faham, sabar menunggu serta mendoakan agar isu ini dapat diselesaikan.

“Terima kasih juga kerajaan India kerana beri kerjasama penuh dalam perkara ini,” katanya menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Hishammuddin berkata, isu tersebut mula tular pada 3 April lalu selepas ramai yang bertanyakan mengenai video viral jemaah tabligh Malaysia yang ditahan pihak berkuasa India.

Susulan itu, katanya, beliau telah meminta Wisma Putra untuk menghubungi kerajaan India untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya juga minta Perwakilan Malaysia di India segera hulur bantuan termasuk barangan asas harian serta ubat-ubatan.

“Sejak itu, Wisma Putra terus lakukan pelbagai pendekatan termasuk proses diplomasi serta sediakan khidmat guaman.

“Saya tak nafi, ia rumit dan perlukan masa kerana mereka telah melanggar undang-undang Kerajaan India,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here