Jualan ikan segar NEKMAT di Taman Wahyu dapat sambutan luar biasa

0
693

KUALA LUMPUR – Promosi jualan ikan segar anjuran Persatuan Nelayan Kebangsaan Malaysia (NEKMAT) di Taman Wahyu mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.

Pusat Jualan Ikan dan Produk Hasil Laut NEKMAT di Taman Wahyu itu mula dipenuhi pelanggan sejak pukul 7.30 pagi lagi dan rata-rata mereka adalah merupakan penduduk warga kota.

Pengurus Besar NEKMAT, Azrin Shah Ismail Berkata, sebanyak 23 spesies hasil laut dijual pada hari ini dengan harga mampu milik atau potongan sehingga 25 peratus untuk pelanggan.

Azrin Shah berkata, semua hasil laut berkenaan diambil terus daripada nelayan yang berdaftar dengan persatuan nelayan di kawasan dan negeri di bahagian utara seperti Kuala Perlis, Kuala Kedah selain Melaka.

“Kita jual ikan segar dan murah, macam hari ini ikan sampai pukul 3 pagi dan kita buka jualan kepada orang ramai seawal 8.30 pagi. Jualan dengan harga mampu milik ini khas untuk warga kota.

“Jualan secara terus ini juga secara tidak langsung membantu meneruskan kelangsungan para nelayan kita. Hari ini ada macam-macam ikan, ada ikan merah, tenggiri, jenahak dan banyak lagi.

“Kenapa saya kata dapat sambutan?, kita dapat lihat hari ini contohnya ikan tenggiri. Kita letak 50 kilogram (kg) dalam 20 minit habis, sama juga dengan udang dan juga sotong.

“Boleh dikatakan laku ‘keras’, kita letak sahaja habis. Kita juga seronok dapat lihat orang ramai membeli hasil laut yang segar. Apabila mereka puas hati kita pun boleh tersenyum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malakat Tribune semasa Promosi dan Jualan Ikan Murah NEKMAT di Taman Wahyu hari ini, turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar NEKMAT, Haji Saipurizan Wahab.

Azrin Shah berkata, walaupun jualan promosi itu mendapat sambutan dan dibanjiri orang ramai, pihaknya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Pelanggan yang datang perlu beratur terlebih dahulu dan diambil suhu badan oleh petugas yang disediakan. Kita pentingkan SOP dalam melaksanakan aktiviti jualan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Azrin Shah berkata, jualan ikan di Pusat Jualan Ikan dan Produk Hasil Laut NEKMAT jenama ENNA di Taman Wahyu sebenarnya turut diadakan pada setiap hari untuk orang ramai.

“Pada Isnin hingga Jumaat kita buka untuk jualan pada pukul 10 pagi hingga 2 petang dan pada Sabtu dan Ahad dibuka pukul 9 pagi hingga 2.30 petang,” katanya.

Selain itu katanya, selain jualan terus kepada pelanggan, jualan ikan segar NEKMAT turut dijual secara dalam talian dan orang ramai boleh melayari https://nekmatbiz.com.my atau https://shopee.com.my/nekmat.os .

“Untuk jualan secara dalam talian kita ada sediakan khidmat ‘runner’. Sekarang NEKMAT ada kira-kira 12 ‘runner’, orang ramai boleh lihat di Facebook NEKMAT untuk lihat ‘runner’ di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Akil Salleh, 27, yang merupakan ‘runner’ NEKMAT berkata, beliau mula menjadi ‘runner’ NEKMAT sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Setiap ‘runner’ ada kawasan masing-masing, purata yang saya hantar sehari ialah sehingga 80 kg. Campur-campur, ada ikan udang dan sotong. Kita lakukan penghantaran dalam kadar segera bagi jamin kesegaran.

“Bagi saya, saya jaga kawasan Selayang, Kepong serta Gombak. Terima Kasih kepada NEKMAT yang membuka peluang untuk kami menambah sumber pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu seorang pelanggan, Nurquistina Raman, 29, berkata, dia pada setiap minggu wajib datang ke NEKMAT Taman Wahyu bagi membeli hasil laut yang segar dan murah.

“Jika dibandingkan dengan tempat lain, ikan di sini lebih segar dan murah. Sebab itu setiap minggu saya dan suami wajib datang ke sini, lagi pun di sini ada pelbagai pilihan,” katanya yang tinggal di Ampang, Selangor.

Harga jualan promosi oleh NEKMAT hari ini memang murah antaranya ialah ikan kembong (RM9.70/kg), tenggiri (RM26), siakap (RM13.50), Cencaru (RM6.50), jenahak (RM20), Merah (RM26) dan banyak lagi.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here