[VIDEO] Kebangkitan sudah, kini gelombangnya

0
426
PENGASAS Malakat Mall dan Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim.
Kebangkitan sudah berlaku, kini gelombangnya

RAUDHAH CITY – Umat Islam di negara ini mampu menguasai sebahagian daripada kek ekonomi negara yang kini lebih 60 peratus dimonopoli oleh bangsa asing sekiranya bersaing dalam ekosistem perniagaan yang ‘baik’.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, peniaga dan usahawan Islam berdepan dengan pelbagai cabaran untuk maju dalam perniagaan kerana tidak mempunyai kuasa dan suara khususnya dalam perniagaan runcit.

“Sejak sekian lama kita (peniaga) dibebani kos yang tinggi seperti wang pendahuluan untuk mendapat tapak di pasar raya, sewa, promosi dan sebagainya.

“Sebab itu saya percaya mereka yang menguasai runcit, merekalah yang menguasai ekonomi sesebuah negara,” katanya ketika berucap pada program Malakat Mall Weekend Gateway yang diadakan di sini hari ini.

Acara yang bermula pada pukul 12 tengahari hingga 5 petang itu bertujuan mempromosikan produk-produk dan usahawan khususnya yang bernaung di bawah pusat beli belah Malakat Mall.

Justeru kata Mohd. Fadzil, umat Islam perlu bersatu hati dan bersama-sama menyokong usaha untuk memperkasakan kebangkitan ekonomi Islam demi manfaat bersama.

“Sebenarnya kita sudahpun melihat kebangkitannya (ekonomi Islam), dan sekarang kita mula merasai gelombangnya,” ujar beliau.

Beliau berkata, salah satu daripada usaha yang cuba dan sedang dilakukan Malakat Mall melalui Raudhah Grocer adalah memberi peluang dan mempermudahkan umat Islam berniaga.

Selain itu katanya, manfaat yang lebih besar kepada umat Islam adalah penyediaan pasaran yang lebih saksama tanpa monopoli atau kerakusan ekonomi kapitalis.

Justeru katanya, kejayaan Malakat Mall di Cyberjaya yang bakal membuka dua cawangan di Melaka pada penghujung tahun ini membuktikan Allah telah memberikan ‘kejayaan awal’ kepada usaha memperkasakan ekonomi Islam.

“Alhamdulillah walaupun tanpa sebarang pengalaman dalam bidang perniagaan ‘mall’ sebelum ini, langkah kami bermula dengan lancar dan dapat membina satu ekosistem baharu di Cyberjaya.

“Walaupun pada mulanya kami tidak mampu pun untuk menyakinkan pemilik bangunan (untuk menyewa) kerana hanya ada ‘track record’ dalam bidang pendidikan, kami tidak sia-siakan peluang yang diberikan,” katanya.

Bermula dengan perniagaan peruncitan produk tempatan dan membawa masuk beberapa jenama dari China, Malakat Mall kini menurutnya mendapat kepercayaan banyak pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan swasta.

“Soal jual barang China, ramai yang tidak faham. Apa yang cuba kita lakukan adalah untuk menjadi pemilik jenama tersebut di Malaysia bukan sekadar pengedar.

“Sama juga konsepnya jika kita tidak mampu menjadi peniaga kita boleh jadi pengedar yang jika kena caranya memerlukan modal yang lebih kecil,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fadzil berkata, sempena pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah Melaka pada 1 November dan Malakat Mall Melaka Tengah (1 Disember), pihak akan mengadakan program Ayuh Bangkit di negeri itu pada 25 haribulan ini.

Orang ramai khususnya usahawan yang ingin mendapatkan tips perniagaan dan merebut peluang bertemu dengan beliau boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu di laman https://www.ayuhbangkit.com.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here