
CYBERJAYA – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan salah laku dan penjualan aset dalam Tabung Haji akan diputuskan selepas penelitian terperinci dilakukan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaari berkata, sehingga kini tiada keputusan rasmi siasatan yang hendak dilakukan sama ada melalui RCI atau siasatan dalaman.
“Bagaimanapun semua maklumat disampaikan kerajaan melalui perbahasan ahli Parlimen atau memo akan diteliti oleh kerajaan.
“Kita akan melihat sewajarnya apakah keperluan sepatutnya kita lakukan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.
Sebelum ini Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang pernah mengemudi Tabung Haji mencadangkan siasatan RCI bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai isu pengurusan kewangan dan aset badan itu.
Mengulas lanjut, Marzuk berkata, semua memorandum dan fakta yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen semasa perbahasan di Dewan Rakyat akan diteliti oleh pihak kerajaan termasuk melibatkan soal penstrukturan aset dan hutang badan itu.