Kerajaan Warisan Sabah tumbang?

0
742
Musa Aman ketika mengadakan sidang akhbar hari ini

CYBERJAYA – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman membuat kejutan apabila mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Menurut Musa, satu gabungan baharu telah di bentuk bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) daripada pelbagai parti.

“Saya juga ingin memaklumkan yang Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Nardin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri telah membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama pagi tadi untuk memaklumkan gabungan baru yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Gabungan ini telah memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa berkata, beliau juga telah menerima surat akuan bersumpah ADUN yang mengesahkan pendirian mereka untuk menyokong gabungan baharu itu.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan gabungan ini akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar yang lebih baik untuk membawa Sabah keluar daripada keadaan ekonomi yang getir pada saat ini akibat kelemahan kerajaan Warisan termasuk dalam mengatasi penularan wabak Covid19.

“Bersama dengan bantuan kerajaan Persekutuan, saya percaya kita bersama-sama dapat mengatasi cabaran yang berlaku, melonjakkan ekonomi, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut meminta komitmen dan dedikasi sepenuhnya daripada semua wakil rakyat untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here