Kes SRC: Esok nasib Najib ditentukan

0
140
Najib Tun Razak

CYBERJAYA – Keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disabitkan atau dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. akan ditentukan esok pagi.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak menutup hujahan masing-masing di akhir kes pembelaan.

Dalam pada itu, Najib dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya berkata, walau apapun keputusannya esok, ia tidak akan berakhir begitu sahaja.

“Sekiranya didapati tidak bersalah, sudah tentu pihak pendakwa raya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Sebaliknya jika keputusan di Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada saya, sudah tentu saya akan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan untuk penghakiman yang adil oleh panel tiga hakim dan bukan seorang hakim seperti keputusan esok,” katanya.

Dalam pada itu, Najib juga telah bersedia untuk meneruskan perbicaraan kes tersebut ke Mahkamah Rayuan jika diperlukan.

“Terima kasih saudara-saudari. Saya tidak putus asa.

“Ya, lepas ini kita ke Mahkamah Rayuan. Saya sudah bersedia. I am ready,” ujarnya.

Pada 11 November tahun lalu, mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga dakwaan pecah amanah jenayah , tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ialah peguam utama pihak pembelaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here