
CYBERJAYA – Sebuah kilang sawit di Kluang, Johor diarahkan tutup serta merta berikutan berlaku kebocoran dan limpahan efluen daripada kilang tersebut sehingga mencemari Sungai Sembrong.
Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, arahan penutupan itu telah dikeluarkan oleh Jabatan Air dan Saliran (JAS) cawangan Kluang.
“Hasil daripada siasatan JAS mendapati berlaku kebocoran dan limpahan efluen daripada kilang sawit ke perparitan ladang dan seterusnya ke Sungai Sembrong.
“JAS telah mengeluarkan arahan menghentikan operasi serta merta,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, turut didapati berlaku kesalahan berulang dengan melanggar syarat lesen dan tindakan penggantungan lesen dua bulan dikenakan kepada premis itu.
Pada masa sama, katanya, pihaknya juga akan mengadakan program pemantauan dan dialog bersama berkaitan kesedaran alam sekitar kepada pihak terlibat.-MT