Kluster Sivagangga terus catat peningkatan kes

0
1341
Kluster ini berpunca daripada pemilik kedai nasi kandar yang ingkar arahan kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari India

CYBERJAYA – Jumlah kes Covid-19 melibatkan kluster Sivagangga terus meningkat apabila dua kes baharu dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhan sebanyak lapan pesakit daripada kluster itu dilaporkan.

“Sehingga tengah hari ini, sebanyak 262 orang telah disaring. Daripada jumlah ini lapan kes dikesan positif Covid-19 dan 251 negatif dan
tiga yang lain masih menunggu keputusan.

“Daripada lapan kes positif, lima orang adalah bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif masih diteruskan melibatkan kluster itu.

Mengulas mengenai kes baharu Covid-19 di seluruh negara setakat hari ini, katanya, terdapat 12 kes baharu yang telah dilaporkan dan ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,976 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 207 kes selepas 27 kes pulih hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan terdapat satu kes kematian melibatkan warganegara asing.

“Kes kematian ke-125 yang juga kes ke-8,974 merupakan lelaki bukan warganegara Filipina berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

“Beliau mempunyai gejala demam, batuk dan sesak nafas pada 25 Julai lalu namun tidak mendapatkan rawatan.

“Pada 29 Julai lalu, beliau ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah di mana beliau telah disahkan meninggal dunia. Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif Covid-19,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here