Kumpulan Mofaz taja program MY #QuranTime di TV AlHijrah

0
457

Ketua Pegawai Eksekutifnya TV AlHijrah, Namanzee Harris (dua dari kiri) bertukar MoA bersama Presiden Kumpulan Mofaz, Mohamed Fauzy Abdul Hamid bagi menaja MY #QuranTime di TV AlHijrah, baru-baru ini.

CYBERJAYA – Syarikat konglomerat terkenal, Kumpulan Mofaz Sdn. Bhd. bersetuju untuk menjadi penaja utama bagi rancangan bercorak agama, MY #QuranTime di TV AlHijrah bagi tempoh dua tahun.

Menurut Tv AlHijrah dalam satu kenyataan, program tersebut merupakan yang pertama dalam sejarah yang mengajak penonton untuk sama-sama mentadabbur al-Quran dari halaman pertama hingga halaman terakhir.

Katanya, program itu yang bersiaran secara langsung akan diadakan selama satu jam pada setiap hari bermula pada pukul 12 tengah hari hingga 1 tengah hari.

“Rancangan yang dijayakan oleh tiga nama besar yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman ini juga telah mencecah jumlah tontonan sebanyak 2.1 juta tontonan sepanjang Jun lalu.

“TV AlHijrah yakin kerjasama strategik yang terjalin ini menjadi medan utama untuk kedua-dua organisasi bertukar-tukar tenaga kepakaran dan sumber-sumber ilmu yang dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada seluruh masyarakat,” katanya baru-baru ini.

Terdahulu, TV AlHijrah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Kumpulan Mofaz di Wisma Mofaz, Kuala Lumpur.

Dalam majlis tersebut, TV AlHijrah diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris manakala Kumpulan Mofaz diwakili oleh Presidennya, Mohamed Fauzy Abdul Hamid.

Menurut kenyataan itu lagi, dua organisasi besar itu akan berusaha sama melalui pelbagai platform dan mengguna pakai pelbagai sumber yang bersesuaian dalam memperkasakan ekonomi umah.

“Reputasi TV AlHijrah sebagai jenama dinamik yang mempromosikan cara hidup Islam tidak dapat dinafikan lagi apabila sedari penubuhannya sehingga kini.

“Stesen televisyen ini sentiasa menerbitkan rancangan-rancangan berkualiti yang mampu memberi nilai tambah kepada kehidupan sekalian penonton yang mengikuti siarannya.

“Pada masa yang sama, kredibiliti Mofaz sebagai pemangkin dan penjana ekonomi serantau dilihat selari dengan aspirasi TV AlHijrah yang senantiasa mencari ruang dan peluang dalam menggerakkan potensi ummah,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here