Lanjutan Moratorium Bersasar manfaatkan 3 juta individu dan PKS

0
172
MUHYIDDIN YASSIN

CYBERJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pelanjutan tempoh moratorium secara bersasar bagi meringankan beban golongan yang terjejas akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lanjutan bersasar ini bakal memberi faedah kepada hampir tiga juta individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Saya berharap Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar ini akan dapat meringankan beban saudara dan saudari yang terjejas dengan masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini dengan kerjasama institusi perbankan di negara kita diharapkan dapat menyokong kemampanan perniagaan, membantu usaha memulih serta melonjakkan semula ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup anda semua.,” kata Muhyiddin dalam satu sidang akhbar khas, hari ini.

Individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu akan menikmati lanjutan untuk tempoh tiga bulan, dan boleh menerima lanjutan lagi bergantung kepada situasi kewangan individu.

Bagi individu yang masih bekerja namun sumber pendapatan mereka terjejas, bayaran ansuran bulanan akan diselaraskan dengan kadar pengurangan gaji, dan bergantung kepada jenis pinjaman.

Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji
semasa individu berkenaan.

“Peminjam yang layak boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos ini,” kata Muhyiddin lagi.

Muhyiddin pada 25 Mac lalu, telah mengumumkan moratorium selama enam bulan yang akan tamat pada 30 September ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here