Lanjutan moratorium masih dalam perbincangan

0
168

CYBERJAYA- Kerajaan masih tidak membuat sebarang keputusan sama ada moratorium pinjaman balik bank akan dilanjutkan atau tidak. 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lanjutan moratorium itu masih dalam perbincangan dan tiada keputusan muktamad setakat hari ini. 

“Moratorium kita masih bincang dan tiada keputusan muktamad, tetapi saya ‘take note’ cadangan yang diberi YB (Yang Berhormat),” katanya ketika pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Soalan tambahan itu ditanya Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang mahu ‘soalan popular’ berhubung moratorium pinjaman balik bank akan dilanjutkan terutama bagi mereka yang hilang pekerjaan dan sektor terjejas. 

Tengku Zafrul berkata, penangguhan moratorium untuk tempoh enam bulan sehingga September dengan peruntukan RM100 bilion. 

“Moratorium ini berakhir September dengan pembukaan ekonomi pada 4 Mei. Rakyat dan peniaga juga menjana pendapatan dan ada yang boleh mula bayar balik pinjaman. 

“Jadi langkah seterusnya yang masih dibincang dengan bank adalah bantuan lebih bersasar, sebagai contoh memanjangkan tempoh bayaran sekali gus mengurangkan ansuran bulanan dan mengubah terma dan syarat serta mengurangkan kadar faedah. 

“Selain itu, beri pelepasan lain sehingga peminjam stabil tetapi buat masa ini kita harap peminjam semua jumpa dengan bank, mendapatkan bantuan AKPK dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil,” katanya. 

Menurutnya, buat masa ini kerajaan tiada cadangan untuk menambah pakej tambahan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). 

“Ini bergantung kepada ekonomi negara, buat masa ini tiada rancangan pakej tambahan pada Prihatin dan Penjana.

“Fokus kita sekarang mahu melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi kita,” katanya. 

Katanya, sebagai langkah pemulihan ekonomi akibat Covid-19, kerajaan memperkenalkan lebih 80 inisiatif di bawah Prihatin pada 27 Mac bernilai RM250 bilion, pakej Prihatin PKS Tambahan pada 6 April bernilai RM10 bilion dan Penjana pada 5 Jun bernilai RM35 bilion. 

“Bagi Pakej Prihatin, pelaksanaan adalah di tahap 91 peratus termasuk RM11.4 bilion bantuan tunai secara ‘one-off’ di bawah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada 10.4 juta penerima B40 dan M40 serta moratorium dianggarkan berjumlah RM59 bilion.

“Bagi Pakej Penjana, 5,055 individu mendapat pekerjaan melalui Program Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan serta bayaran ‘one-off’ sebanyak RM300 di bawah Bantuan Sosial bagi golongan mudah terjejas termasuk 108,000 OKU (orang kurang upaya) bernilai RM32.3 juta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here