Lebih 600 murid Orang Asli terkandas akibat jambatan runtuh

0
210

Gambar hiasan

GUA MUSANG – Lebih 600 murid Orang Asli di tiga sekolah pedalaman di daerah ini terkandas dan tidak dapat ke sekolah berikutan jalan rosak dan jambatan runtuh setelah hujan lebat, sejak empat hari lalu.

Murid Orang Asli itu ialah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, SK Bihai dan SK Hendrop yang sebelum ini berulang alik setiap hari ke sekolah dengan kenderaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Gua Musang, Azuri Hamzah berkata, semua murid yang terkandas itu tidak dapat ke sekolah kerana kenderaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak dapat ke kampung mereka akibat jalan perhubungan terputus, sejak pagi semalam.

“Kenderaan JAKOA yang dalam perjalanan ke kampung Orang Asli untuk mengambil murid sekolah itu terhalang dengan kejadian jalan tertimbus tanah dan beberapa jambatan runtuh.

“Kita harap masalah ini dapat diatasi secepat mungkin bagi mengelak murid Orang Asli terjejas pelajaran mereka,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Kejadian hujan lebat itu turut menyebabkan berlaku banjir lumpur di Pos Hendrop pada kira-kira 11 malam dua hari lepas dan banjir hampir memasuki kawasan sekolah.

Berikutan kejadian itu, 21 murid yang tinggal di asrama sekolah berkenaan telah dipindahkan lebih awal ke tempat selamat.

Azuri yang bimbang dengan kejadian hakisan yang begitu hampir dengan sekolah, meminta guru agar mengawasi pergerakan murid supaya mereka tidak bermain di kawasan berkenaan.

“Masalah bencana alam ini sememangnya tidak boleh dijangka atau dielakkan, lebih-lebih lagi hampir tibanya musim tengkujuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here