Malakat Mall di Kelantan kian jadi kenyataan

0
852

Wan Mohd. Shuhaimi Wan Mustapha (tiga dari kiri) bersama Mohd. Fadzil Hashim (dua dari kiri) ketika melawan Malakat Mall di sini hari ini

RAUDHAH CITY – Impian penduduk di Kelantan untuk melihat pusat beli belah BMF, Malakat Mall bertapak di negeri tersebut kian hampir menjadi kenyataan apabila ia mendapat perhatian daripada pihak Majlis Daerah Machang.

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Machang, Wan Mohd. Shuhaimi Wan Mustapha, pihaknya sangat tertarik dengan konsep yang dibawa oleh pusat beli belah itu dalam membantu ekonomi ummah dan memberi peluang kepada usahawan Muslim memasarkan produk mereka.

“Kita sangat menyokong usaha ini sebab ia dapat mengembangkan ekonomi orang Islam, sekarang peniaga kita dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tiada tempat untuk pasarkan produk mereka.

“Saya amat tertarik dan bercadang untuk membawa Malakat Mall ke Kelantan, mungkin ia adalah Malakat Mall yang ketujuh didirikan di Malaysia,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune hari ini.

Wan Mohd. Shuhaimi

Terdahulu, Wan Mohd. Shuhaimi yang juga Ketua Jajahan Machang bersama rombongannya melakukan kunjungan hormat ke atas Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim dan Pengarah Projek Malakat Mall, Mohd. Fazli Rahim di Malakat Mall di Cyberjaya di sini.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Shuhaimi berkata, pihaknya telah mengenal pasti lokasi yang bersesuaian untuk mendirikan pusat beli belah itu di Kelantan dan akan membawa pasukan Malakat Mall untuk melawat kawasan tersebut dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, beliau juga berharap pihak pengurusan Malakat Mall dapat bekerjasama dengan Koperasi Pembangunan Ummah Kelantan Berhad (KO-UMMAH) dalam mewujudkan Malakat Mall di setiap daerah di Kelantan.

Beliau berkata, ini kerana Kelantan mempunyai potensi yang sangat besar untuk pusat beli belah BMF berkembang namun, peluang tersebut diambil oleh bangsa lain yang lebih cepat merebut ruang.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here