Malakat Mall terima kunci bangunan Mara Masjid Tanah

0
581
Kunci bangunan Mara yang kini bertukar tangan kepada Malakat Mall

RAUDHAH CITY – Penantian penduduk di Masjid Tanah, Melaka untuk melihat bangunan dua tingkat milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) di daerah tersebut didirikan sebuah pusat beli belah BMF bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Dalam satu hantaran menerusi laman Facebook Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, beliau memberitahu bahawa pihaknya telah menerima kunci bangunan tersebut hari ini.

Sebelum ini, pada Jumaat minggu lalu, Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil telah menandatangani perjanjian penyewaan premis tersebut dengan MARA Inc Sdn. Bhd. yang juga merupakan pemilik bangunan dua tingkat itu.

“Alhamdulillah! Kami dah terima kunci Malakat Mall Masjid Tanah. Doakan dipermudahkan urusan pembukaan,” katanya.

Menerusi perkembangan terbaharu itu, ia menandakan proses untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian premis tersebut akan dijalankan dalam masa terdekat ini.

Coach Fadzil sebelum ini menjangkakan Malakat Mall Masjid Tanah yang juga cawangan kedua pusat beli belah BMF itu akan dibuka pada awal Disember tahun ini.

Malakat Mall merupakan satu-satunya pusat beli belah berkonsepkan BMF dengan semua usahawan yang berniaga dalam premis tersebut merupakan peniaga Muslim.

Antara kedai yang terdapat dalam Malakat Mall pertama di Cyberjaya ialah restoran Bunch-Oh; kedai hardware DIY Malaya; kedai barangan sukan Tahan Sport; kedai alat tulis Conteng dan lain-lain.

Menerusi pembukaan cawangan baharu di Masjid Tanah, ia dijangka akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat dan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk di Melaka khususnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here