Melaka tidak benar hotel jadi pusat kuarantin

0
276

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka tidak akan membenarkan hotel dijadikan pusat kuarantin Covid-19 bagi mengelak sektor pelancongan, antara penyumbang utama ekonomi negeri, terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri, Rahmad Mariman, berkata, kerajaan negeri kini bersiap sedia untuk membuka semula operasi dua pusat kuarantin berikutan pengumuman kerajaan yang tidak membenarkan mana-mana individu  pulang dari luar negara kuarantin di rumah bermula Jumaat ini.

Beliau berkata, dua pusat kuarantin dicadangkan itu ialah di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE), di Alor Gajah, dekat sini, dan di Akademi Latihan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Tiang Dua, di sini.

“Pusat kuarantin di CREaTE mampu menampung kira-kira 400  katil, manakala  Akademi Latihan JPJ mampu menyediakan 200 katil dan kerajaan negeri akan menetapkan salah satu dari pusat ini untuk dibuka semula sebagai persediaan menangani masalah ini.

“Kita jamin, harga yang akan ditawarkan nanti adalah lebih rendah  dengan kemudahan stesen kuarantin yang selesa berbanding RM150 yang dikenakan semalaman kepada pesakit yang menetap di pusat kuarantin di hotel,” katanya memetik laporan Bernama hari ini..

Terdahulu, dalam persidangan itu semasa menjawab soalan lisan Datuk Tey Kok Kiew (Bandar Hilir-DAP) tentang jumlah bantuan disalurkan kerajaan negeri bagi membantu rakyat terjejas Covid-19, Rahmad berkata RM28.2 juta diperuntukkan melalui 28 inisiatif kerajaan negeri telah disalurkan sejak Mac lepas.

Katanya, tambahan RM12.4 juta menerusi kerjasama Majis Agama Islam Melaka (MAIM) turut disalurkan meliputi pelbagai bantuan untuk rakyat di negeri ini.

“Ia termasuk memperuntukkan sebanyak RM500,000 buat petugas barisan hadapan bagi tujuan pembayaran elaun makanan dan pembelian peralatan asas bagi memastikan kebajikan petugas ini terjamin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here