Mohamad Ariff akur kosongkan jawatan

0
212

CYBERJAYA- Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof akur dengan pengosongan jawatannya sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Mohamad Arif dalam sidang akhbar di Parlimen menyifatkan proses berkenaan dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tiada masalah kerana pada awal saya beritahu saya hanya akan keluar sekitanya Perlembagaan dipatuhi.

“Apa yang berlaku ialah Perlembagaan dipatuhi dan ada usul serta undian dibuat. Akhir kata, Ahli Parlimen yang putuskan,” katanya.

Dewan Rakyat sebentar tadi meluluskan usul dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya.

Usul berkenaan diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen yang diperoleh menerusi undian secara belah bahagi.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon memaklumkan sebanyak 111 Ahli Parlimen menyokong, manakala 109 menolak, seorang Ahli Parlimen tidak hadir.

Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Joniti Ongkili tidak hadir.

Terdahulu, Muhyiddin membentangkan usul itu sebelum dibahaskan kira satu jam 10 minit oleh empat Ahli Parlimen, masing-masing mewakili kerajaan dan pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hasan ketika sesi penggulungan menegaskan usul yang dibawa Muhyiddin supaya Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, usul itu juga tidak cacat dan ia diterima oleh Mohamad Ariff sendiri pada 29 Jun lalu, mencakupi tempoh masa 14 hari sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula.

“Saya ingin memaklumkan bahawa usul ini dibuat berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan dalam Parlimen.

“Sebagai contoh, tidak pernah berlaku dalam negara ada Perdana Menteri interim, tetapi ia berlaku dan kita menerimanya.

“Jadi jangan hanya melihat Peraturan Mesyuarat sahaja kerana Peraturan Mesyuarat dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here