Nikmati sardin Enakkk tanpa ragu-ragu

0
319
Pengasas produk Enakkk, Rossham Rusli

WALAUPUN cukup enak dimakan, sardin merupakan antara produk makanan yang sering mencetuskan rasa ‘was-was’ dalam kalangan pengguna Islam apabila memikirkan kaedah penyediaan dan penggunaan bahan pengawet yang tinggi.

Faktor kurangnya pilihan produk sardin keluaran bumiputera Islam di pasaran juga menyebabkan sebahagian pengguna melupakan terus hasrat untuk menikmati keenakan hidangan makanan laut segera itu.

Menyedari keperluan dan tuntutan jaminan halal yang semakin menjadi keutamaan pengguna, syarikat Agro Premium Sdn Bhd tampil dengan dua perisa sardin iaitu sardin masak lemak ori dan sardin masak lemak cili api yang dikeluarkan di atas jenama Enakkk.

Pengasas produk Enakkk, Rossham Rusli berkata, sardin keluaran syarikatnya dihasilkan dengan jaminan halal dan melepasi tahap piawaian keselamatan makanan.

“Produk kami telah mendapat pengiktirafan daripada Selangor Halal Hub, Mesti dan melepasi piawaian keselamatan makanan oleh HACCP.

“Pengesahan dan testimoni ini diharap dapat memberi keyakinan kepada pengguna untuk menikmati produk kami,” katanya ketika ditemui pada sesi ‘Produk Pitching’ Malakat Mall hari ini.

Menurut Rossham, selain mementingkan piawaian dan kualiti makanan, produk tersebut juga kaya dengan kandungan Omega 3 dan nutrisi yang baik untuk kesihatan.

“Keenakan rasa ikan adalah hasil daripada sumber makanan laut yang segar tanpa bahan pengawet.

“Produk ini juga mudah disediakan iaitu cukup dengan merendam dalam air panas atau memasak semula untuk tempoh beberapa minit,” katanya.

Mengulas mengenai peluang memasarkan produknya di Raudhah Grocer, Rossham yakin produk sardin yang menampilkan rasa asli masakan Melayu itu mempunyai tarikan tersendiri.

“Hari ini saya telah bercerita mengenai produk ini kepada pihak pengurusan Malakat Mall dan maklum balasnya sangat baik.

“Saya harap produk ini dapat membantu memperkasakan ekonomi Islam khususnya melalui sambutan baik di Malakat Mall,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here