Pelancongan domestik dijangka pulih lebih awal- Nancy

0
135

CYBERJAYA- Sektor pelancongan domestik, yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19 dan penutupan sempadan negara dijangka mampu bangkit lebih awal daripada jangkaan untuk kembali rancak.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia antara lain didorong faktor pematuhan tinggi rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Kalau saya secara peribadi mula-mula saya terfikir mungkin pada Disember barulah kita boleh bangkit, tapi nampaknya kita boleh bangkit lebih awal kerana rakyat begitu mematuhi SOP.

“Jadi itu adalah antara jaminan bagi kita untuk memberanikan diri untuk bergerak (melancong) dan sama-sama kita memainkan peranan untuk mempertahankan SOP agar kita yakin untuk melancong dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mengadakan lawatan ke beberapa tempat pelancongan utama sekitar ibu negara seperti di Dataran Merdeka, Taman Eko Rimba serta Muzium Diraja hari ini.

Nancy di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, sektor pelancongan negara dijangka mengalami kerugian sekitar RM45 bilion tahun ini susulan penularan Covid-19, yang meliputi RM31 bilion pelancongan antarabangsa manakala selebihnya segmen domestik.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) turut menyaksikan kementerian terbabit melancarkan kempen Penyemarakan Semula Pelancongan Domestik yang merangkumi beberapa langkah seperti Pelan Pemulihan Pelancongan dan Pelan Pemulihan Kebudayaan.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, turut menjelaskan kekeliruan berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat berhubung kadar tempahan hotel-hotel mula merekodkan kadar penghunian yang tinggi sehingga 75 peratus.

Beliau menegaskan bahawa angka itu merujuk kepada hotel yang mempunyai daya tarikan tersendiri seperti di tepi pantai atau kawasan popular seperti Pulau Langkawi.

“Bagaimanapun secara puratanya tempahan hotel seluruh negara adalah pada kadar 21 hingga 30 peratus. Kita harap ini (melancong dalam negara) akan jadi satu trend dalam negara sebab ia akan membantu pengusaha tempatan dan mereka yang bekerja di hotel,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here